Monday, January 18, 2010

syair PESANAN IBU

Posted by mautauka


Dengarlah anak ibu berpesan,
Lengkapkan diri dengan pelajaran,
Hanyalah itu jadi bekalan,
Untuk hidup di masa depan.

Ilmu itu pelindung diri,
Seperti kebun berpagar duri,
Seperti sinar intan baiduri,
Itulah tanda orang jauhari.

Hidupmu kini di masa remaja,
Bagaikan permata amat berharga,
Jangan jatuh ke lembah hina,
Nanti menyesal tidak berguna.

Kalau hidup terasa susah,
Sering berhadapan dengan masalah,
Hadapi dengan hati yang tabah,
Jangan cepat resah gelisah.

Syaitan menggoda bertambah gundah,
Jangan mengambil jalan yang mudah,
Jangan sekali mencuba dadah,
Kalau terjerat sesal tak sudah.

Jika masa sudah terbuang,
Perginya tidak akan berulang,
Di hari tua sesal mendatang,
Mengingatkan waktu yang telah hilang.

Dunia bagai lautan dalam,
Gelombang besar karangnya tajam,
Di situ banyak kapal tenggelam,
Ramailah insan yang telah karam.

Ingatlah wahai anakku sayang,
Tanah indah pusaka moyang,
Jangan terlepas ke tangan orang,
Sedangkan kita miskin terbuang.

Zurinah Hassan
Langit di Tangan, 1995.
Dewan Bahasa dan Pustaka

(P/S: syair ini aku ambik dari buku Antalogi Seuntai Kata untuk Dirasa. maklumlah cikgu BM)

Friday, January 1, 2010

Lampu Aladdin (Minda Separa Sedar)

Posted by mautauka


Istilah Kuasa Minda dan Law Of Attraction(Hukum Tarikan) merupakan istilah yang cukup popular pada masa kini dan masing-masing membincangkan perkara yang sama iaitu penggunaan Minda Separa Sedar(Subconcious Mind)

Minda Sedar berfungsi melalui pengawalan lima pancaindera yang berkaitan dengan dunia nyata iaitu penglihatan, pendengaran, bau, rasa, dan sentuhan.

manakala

Minda Separa Sedar pula bertugas mengawal aktiviti yang melibatkan perasaan, dan emosi tanpa kita sedar atau merasainya.

Minda Separa Sedar bertugas secara terlatih tanpa perlu berfikir.

Ia merekod pengalaman seumur hidup kita tanpa banyak bantahan tidak kira sama ada implikasinya baik atau buruk dan menerima setiap keputusan dan kesimpulan secara mutlak.

90% aktiviti mental dan kehidupan manusia dikuasai oleh minda separa sedar dan ia menjalankan aktiviti selama 24 jam sehari dan boleh diibaratkan sebagai "Lampu Aladdin".


Semenjak dilahirkan, bakat meniru telah wujud dalam diri kita dan pelbagai perkara telah kita tiru tanpa kita sedari.


apabila kita memerhatikan sesuatu, minda sedar kita belajar dan merekod ke dalam minda separa sedar sehingga menghasilkan satu tabiat atau tingkahlaku.

sekiranya kita selalu perhati tingkahlaku yang baik, maka akan terhasillah tingkahlaku yang baik dan sebaliknya kalau kita selalu perhati tingkahlaku yang buruk, maka akan terhasillah tingkahlaku yang buruk.

contohnya orang yang selalu memerhatikan personaliti kesukaannya, sedikit sebanyak akan meniru dan bertingkahlaku seperti personaliti kesukaan yang diperhatikannya.

jadi sekiranya kita ingin berjaya kita perlu membiasakan diri kita memerhati dan meniru bagaimana orang yang berjaya mencipta kejayaannya.

(P/S: sebaik-baiknya perhatikan dan tirulah orang berjaya yang soleh dan berakhlak mulia dan jangan selalu sangat perhati artis-artis atau pemimpin-pemimpin yang hipokrit mencari syurga dunia di hati manusia.)